GWGF MENYAMBUT BAIK TINDAKAN PENGERUSI FELDA DALAM PENSTRUKTURAN ORGANISASI






SHAH ALAM ; 18hb Januari 2017: Gabungan Wawasan Generasi FELDA menyambut baik tindakan tegas oleh YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Pengerusi FELDA dengan mengarahkan semua Ahli Lembaga Pengarah FIC meletak jawatan ini kerana demi menyusun kembali struktur syarikat tersebut menjadi sebuah syarikat yang lebih berdaya saing dan kompetatif. FIC adalah sebuah sebuah syarikat yang bertanggungjawab menjalankan aktiviti perniagaan dan ianya harus ditadbir oleh individu yang berkelayakan khususnya dalam bidang ekonomi dan pengurusan supaya boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat dan faedah kepada masyarakat FELDA.

Langkah yang dilaksanakan oleh YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad bertepatan dengan matlamat awal semasa pelantikan sebagai Pengerusi FELDA adalah untuk memberikan perubahan dalam struktur kepimpinan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat FELDA semula. Ini jelas ditunjukkan oleh YB Tan Sri serius melaksanakan perubahan demi memastikan dapat mengekalkan kecemerlangan FELDA dan menambah baik setiap perancangan FELDA dalam setiap aspek pembangunan warganya khusus dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan pembangunan generasi baru FELDA

Langkah penyusunan rombakan pengurusan yang besar dalam FELDA diharapkan memartabatkan semula peranan FELDA sebagai badan berkanun yang mengurus sumber milik peneroka dan perladangan FELDA secara efisyen bukan sahaja di peringkat ‘up stream’ malah yang lebih penting di sektor ‘down stream’. Rombakan ini juga harus dilaksanakan kepada semua peringkat secara holistik bukan hanya kepada FIC, kerana organisasi dibawah FELDA harus diambil perhatian agar ianya didukung oleh orang yang berkelayakan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2015 mengesahkan tentang urus tadbir FELDA yang lemah sama ada dari segi perancangan mahu pun di peringkat pelaksanaan. Justeru itu tindakan wajar telah dilakukan oleh YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad dengan merombak kembali pengurusan tertinggi demi membaik pulih kembali imej FELDA yang tercalar angkara salah tadbir urus dan ketirisan yang berlaku sebelum ini.

Sebelum FGV diwujudkan, FIC memang penting kepada FELDA kerana peranannya untuk meningkatkan sumber kewangan organisasi tersebut sebagai sebuah badan berkanun sebelum harta tak alihnya diambil-alih oleh FGV secara jualan berasaskan discounted price.

Memandangkan FIC adalah sebuah organisasi yang sangat penting untuk menaikan ekonomi FELDA, GWGF berharap ahli lembaga pengarah FIC yang yang akan dilantik adalah anak peneroka yang telah mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan seperti Tan Sri Rozali Ismail, Presiden GWGF dan lain-lain anak peneroka telah berjaya dalam bidang masing-masing yang dikenal pasti mampu membangunkan FIC.

Dalam memperkasakan hubungan FELDA dan generasi peneroka, tindakan YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk turun padang mencerminkan beliau sebagai seorang pemimpin yang sentiasa ingin mendekati masyarakat FELDA bagi menjaga kebajikan dan pembangunan warga FELDA. GWGF yakin dan percaya ketokohan dan pengalaman YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad dapat digunakan untuk menjalankan tugasan yang diamanahkan oleh seluruh warga FELDA dan membanteras segala amalan yang menyalahi undang-undang negara.

GWGF juga akan terus menyokong sepenuhnya segala perancangan FELDA yang membawa kebaikan dan kecemerlangan kepada semua masyarakat FELDA di seluruh negara. Dengan corak kepimpinan yang berkualiti, FELDA mampu berada ditahap yang tertinggi dalam arena globalisasi dan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain dan akhirnya memberikan kesan positif kepada kemajuan FELDA secara keseluruhannya.


LEFTENAN KOLONEL (K) DATUK HAJI ABDULLAH BIN HAJI ABU BAKAR
TIMBALAN PRESIDEN

Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF)

Related Posts
Latest

TALIAN ADUAN

TALIAN ADUAN